May 28, 2023

Perlu Muafakat MN, PN untuk sekat PH

Spread the love

Gabungan Muafakat Nasional (MN) perlu disepakati bersama Perikatan Nasional (PN) bagi meraih kemenangan lebih mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, selain itu bagi mengelak pentadbiran negara jatuh kembali ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, perpecahan antara dua parti besar orang Melayu, Umno dan PAS akan merugikan semua pihak terutama rakyat di negara ini.

“Pada hemat saya MN perlu terus disepakati bersama PN. Malah semua pimpinan perlu mengetepikan percanggahan antara satu sama lain, dan bersatu hati untuk menghadapi PRU-15.

“Sekiranya kerajaan perpaduan hari ini antara PN, BN dan Gabungan Parti Sarawak (GRS) mampu membawa kestabilan politik, kenapa kita mahu berpecah pada PRU15,” katanya ketika dihubungi di sini.

Malah kata beliau sekiranya MN gagal dipertahankan bersama PN ia boleh memberi ruang PH muncul semula kerana orang Melayu tidak bersatu padu.

Beliau berkata, kemenangan hanya boleh dicapai sekiranya semua pihak bersatu hati atas nama MN dan PN bagi mengelakkan undi orang Melayu berpecah pada PRU15.

Bagaimanapun katanya juga PH pun berpecah kerana mereka masing-masing ego sehingga wujud beberapa kumpulan iaitu PH, Pejuang, Warisan dan pelbagai lagi parti politik serpihan lain. – HARAKAHDAILY 10/6/2022