June 4, 2023

DragonForce Malaysia godam 70 laman web India

Spread the love

Kumpulan penggodam Malaysia yang menggelarkan nama sebagai ‘DragonForce Malaysia’ menggodam beberapa laman web kerajaan India susulan kenyataan menghina dibuat dua ahli Parti Bharatiya Janata (BJP) terhadap Nabi Muhammad.

Kumpulan itu melancarkan serangan siber mensasarkan laman web Kedutaan India di Israel, Institut Pengurusan Pelanjutan Pertanian Kebangsaan India, Majlis Penyelidikan Pertanian India, dan beberapa lagi.

The Times of India melaporkan, sejumlah 70 laman web digodam kumpulan itu, termasuk laman milik persendirian, selain laman institusi pendidikan seperti Institut Sains Nagpur.

DragonForce Malaysia juga dilaporkan cuba menyerang laman web membabitkan bank-bank utama di India. 

Kumpulan penggodam berkenaan juga mendesak penggodam muslim dan juga pertubuhan hak asasi manusia memulakan kempen terhadap India susulan kenyataan menghina dua ahli BJP, parti yang memerintah kerajaan India.

Bagaimanapun dilaporkan, polis negara berkenaan sudah melancarkan siasatan berhubung tindakan godam itu. 

Minggu lalu, dua ahli BJP yang membuat kenyataan menghina Islam dan Nabi Muhammad sudah digantung atau dipecat, manakala Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia menjelaskan kenyataan itu tidak mencerminkan pandangan kerajaan India.

Susulan itu, kerajaan India menghadapi tekanan dan terpaksa berhadapan tindak balas dari dunia Islam, termasuk Emiriah Arab Bersatu, Oman, Indonesia, Jordan, Iraq, Maldives, Bahrain, Turkiye, termasuk Malaysia.

DragonForce Malaysia menarik perhatian dunia sejak tahun lalu, selepas didakwa mencuri dan membocorkan maklumat peribadi hampir 300,000 penuntut Israel dari AcadeMe, satu daripada jaringan rekrut terbesar bagi pelajar dan lepasan universiti.

Dalam tangkap layar mengandungi mesej daripada penggodam itu, mereka menggelar operasi berkenaan sebagai “#OpsBedil 2.0” dan menyeru “penggodam, pertubuhan hak asasi manusia dan aktivis” bersatu dan memulakan kempen menentang Israel.

Tindakan DragonForce Malaysia i membocorkan maklumat itu susulan konflik Israel-Hamas selama 11 hari, di mana Hamas menguasai Semenanjung Gaza.