May 28, 2023

Sanusi Bangga kejayaan Kedah tarik Pelabur Asing

Spread the love

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor menyifatkan kejayaan negeri itu menambah baik dan memudah cara urusan pelaburan untuk menarik lebih ramai pelabur asing adalah dari usaha gigih semua pihak terutama barisan EXCO.

Beliau berkata, pujian Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali terhadap negeri itu disifatkan sebagai pengiktirafan yang tinggi buat Kerajaan Negeri Kedah.

“Satu pengiktirafan yang tinggi buat Kerajaan Negeri Kedah. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih semua pihak terutamanya para EXCO.

“(Selain) para Pegawai Tadbir Negeri yang diketuai Datuk Paduka Setiausaha Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pasukan pentadbiran keseluruhannya,” katanya menerusi Facebook.

Muhamad Sanusi berkata, beliau percaya sekiranya kerajaan negeri terus ditadbir di atas landasan betul maka segala urusan akan dopermudahkan.

“Bila kita buat kerja mengikut tatakelola dan tadbir urus yang baik, maka Allah permudahkan urusan kita. Allah datangkan kepada kita rezeki yang melimpah ruah dan diberkati.

“Kedah, negeri tempat orang miskin tumpang berteduh, tempat orang kaya menabur bakti,” katanya.

Terdahulu, Mohd Zuki berkata, kejayaan Kedah menambah baik dan memudah cara urusan pelaburan perlu dijadikan contoh dan penanda aras bagi negeri lain dalam menarik lebih ramai pelabur asing.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi menggerakkan kembali sektor perniagaan dalam memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kedah berjaya menarik jumlah pelaburan antara yang tertinggi, ia boleh dijadikan teladan kepada negeri lain untuk tampil sama, sebenarnya benda ini memerlukan kepemimpinan sebab ia membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.