May 28, 2023

Guru menipu atas arahan

Spread the love

Wan Maizura Kamaruddin dengan berani membuat pendedahan mengejutkan dunia pendidikan dengan memaklumkan sebab beliau bersara. Beliau memberitahu “Kami dipaksa menipu demi laporan dan data cantik.”

Beliau yang merupakan seorang guru bahasa inggeris nekad untuk bersara awal ketika umurnya hanya 53 tahun. Berbaki 7 tahun untuk berkhidmat dan tidak pernah terfikir bersara awal terpaksa melakukannya sekarang kerana berpendapat sistem pendidikan sekarang sudah tiada hala tuju. Perkara ini membuatkan ramai guru seolah-olah sudah tidak ada jiwa untuk mengajar dan ramai yang mengambil keputusan untuk bersara awal.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa tiada lagi demokrasi di dalam profesyen pendidikan. Walaupun dijenamakan sebagai professional tetapi guru kurang diberi ruang untuk menyatakan atau sesuatu mengikut pendapat dan kreativiti tersendiri. Kebanyakkan pentadbir sama ada peringkat sekolah atau jabatan mengamalkan sistem satu hala. Pilihan yang guru ada ialah melaksanakan setiap arahan tanpa soalan. Cemerlang dalam setiap keputusan, tahap kemampuan pelajar diketepikan.

Menceritakan pengalamannya sendiri, Wan Maizura berkata dia pernah menegur pihak atasan dan salah laku guru besar tetapi tidak diendahkan malah dia sendiri yang terpaksa menanggung akibat hingga ditukar mengajar ke kelas bawah.

“Bila guru besar dah tak suka saya, apa lagi boleh dibuat. Lebih baik saya berhenti. Bagi saya ketiadaan hak bersuara ini sesuatu yang sangat tidak profesional,” luahnya lagi.

“Setiap arahan dari atas bila turun ke bawah semakin bertambah. Saya sifatkan ini dengan istilah ‘little napoleon’ di mana Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diubah untuk mengikut KPI yang diperlukan pihak tertentu.

“Mereka pula yang tentukan KPI untuk kepentingan diri sendiri dan akhirnya guru terpaksa ikut.

Jadi keseronokan untuk mengajar itu telah tiada dan ditarik oleh sistem pendidikan sebegini,” jelas Wan Maizura yang memilih untuk bersara pada 1 September tahun lalu.

Wan Maizura turut mempersoalkan peranan PTD yang tidak mempunyai asas perguruan tetapi menggalas tugas untuk menetapkan KPI guru.

PTD juga akan meminta untuk melakukan bermacam-macam program semata-mata untuk mencapai KPI mereka di kementerian.

“Saya boleh mengajar dari pagi sampai ke petang tetapi saya tidak akan kembali berkhidmat jika sistem pendidikan tidak diubah”.

“Saya ini seorang yang ‘gila’ mengajar. Tetapi bila ada arahan bertindih sampaikan kena kerja pada pukul 10 malam, awal pagi kena masukkan data, ini yang kita tak mampu ikut,” tegasnya lagi.

Sebagai seorang guru yang telah lama mengajar, Wan Maizura juga mendedahkan bahawa dia mempunyai modul pengajaran yang boleh meningkatkan kualiti murid.

Tetapi sayangnya ia tidak diiktiraf sebaliknya perlu mengikut arahan yang lebih menjurus kepada kepentingan pihak tertentu.

“Kita nak mengajar untuk memanusiakan budak-budak. Kenapa kita nak mengajar mengikut KPI orang tertentu?

Mereka hanya mahukan data yang cantik,” keluhnya yang kecewa dan nekad untuk bersara.