PAS mencadangkan sidang Parlimen Khas diadakan bagi membincangkan isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat ketika ini.
Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin, berkata sidang Parlimen Khas itu antara tiga langkah yang dicadangkan pihaknya untuk membantu kerajaan menangani krisis tersebut dengan konsep demokrasi musyawarah.
Jelasnya, sidang Parlimen Khas itu dapat melihat secara mikro bagi mendapatkan pandangan dan cadangan penyelesaian daripada Ahli Parlimen yang lebih dekat dengan rakyat di kawasan masing-masing.
“(Selain) mengadakan perbincangan bersama dengan semua ketua parti politik daripada kerajaan dan juga pembangkang bagi mencari solusi terbaik dalam mengatasi peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, PAS turut mencadangkan kerajaan mengkreditkan secara bersasar bantuan tunai bulanan melalui kad pengenalan atau e-dompet kepada golongan B40 dan sebahagian M40.
Katanya, ia bagi membantu kelompok itu membeli barang keperluan harian dan langkah tersebut adalah selaras dengan prinsip Islam.
“Kerajaan perlu memungut dan mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama.
“Pemberian bantuan tunai bulanan secara bersasar ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat yang jelas amat terkesan disebabkan oleh krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata, isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup itu perlu diatasi segera, selain menyeru semua pihak kembali kepada prinsip demokrasi bermusyawarah.
“Krisis ini dijangka akan bertambah parah sekiranya penyelesaian yang tuntas dan holistik tidak diambil oleh kerajaan dalam masa terdekat,” katanya
More Stories
Finding a Good Paper Writing Service
Pemberian PrEP untuk pasangan Gay, adakah KKM sokong LGBT?
Agenda DAP tapi UMNO laksanakan