June 4, 2023

Suku akhir, Yew Sin-Ee Yi kalahkan juara Olimpik

Spread the love

Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, menceriakan kem badminton negara apabila mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022, di Arena Axiata, hari ini.

Lebih manis, pasangan kesepuluh terbaik dunia itu menewaskan juara Olimpik dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin untuk kali kedua selepas melakukannya pada saingan suku akhir Kejohanan Dunia, tahun lalu.

Pada aksi pusingan kedua yang meraih sokongan gemuruh daripada penonton di stadium, pasangan negara memerlukan 41 minit sebelum berjaya menundukkan pasangan Taiwan, yang menduduki ranking keempat dunia 21-17, 21-18.

Ketika ditemui pemberita, Yew Sin berkata, sokongan padu daripada penyokong telah membakar semangat mereka untuk meraih kemenangan mudah ke atas lawan tanpa diheret ke set penentuan.

-ADVERTISEMENT-

Ads by 

“Syukur kami berjaya hari ini. Kami tidak meletakkan harapan tinggi sebelum perlawanan, hari ini, sebaliknya merancang mengutip mata demi mata dan berikan saingan terbaik,” katanya.

Yew Sin-Ee Yi selaku gandingan bukan pilihan dijadual berdepan pilihan keenam dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang mengenepikan Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman 19-21, 21-10, 21-15.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo Aaron Chia-Soh Wooi Yik, membuktikan semangat sedang membara apabila mudah menewaskan lawan dari Singapura Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean 21-16, 21-13.

Pasangan di ranking keenam dunia itu bakal berdepan gandingan The Daddies Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, mengulangi pertemuan perebutan pingat gangsa temasya Olimpik, tahun lalu.

Pilihan ketiga kejohanan itu melangkah ke suku akhir selepas mengecewakan He Ji Ting-Zhou Hao Dong dari China 21-13, 21-10.

Aaron berharap mereka mampu mengekalkan momentum yang mereka peroleh ketika aksi di Tokyo bagi mengesahkan slot ke separuh akhir Terbuka Malaysia 2022.

Satu lagi pasangan negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Ramsani mara ke suku akhir tanpa bermandi peluh apabila lawan mereka dari India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menarik diri, difahamkan seorang daripada mereka mengalami masalah kecederaan.

Sze Fei-Nur Izzuddin akan berdepan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China yang menyingkirkan pasangan profesional negara Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong 21-18, 17-21, 21-14.