June 4, 2023

Perbicaraan saman fitnah Zamihan terhadap Mufti Perlis bermula

Spread the love

PERBICARAAN saman fitnah yang dikemukakan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bermula hari ini.

Dalam penyata tuntutan, Zamihan mengemukakan saman fitnah sebanyak RM2 juta terhadap Mohd Asri.

Ia berhubung kenyataan yang didakwa berbentuk fitnah Mufti Perlis itu terhadapnya yang disiarkan di beberapa media pada tahun 2018.

Menurut tuntutan itu, Mohd Asri didakwa memfitnah Zamihan sebanyak dua kali di media iaitu kali pertama pada 14 Oktober 2018 melalui wawancara bertajuk “Bukan di Perlis Saja” yang disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia.

Melalui wawancara itu, Mohd Asri didakwa memfitnah Zamihan sebagai individu yang anti kepada Perlis dan mempunyai pemikiran yang ekstrem berhubung pelbagai isu.”

“Antaranya isu dobi, selain mengkafirkan orang lain, Zamihan dilarang
(berceramah) di Johor dan Selangor kerana pemikirannya yang ekstrem”

“Beliau juga mempertikaikan Sultan Johor,” kata Mohd Asri dalam wawancara berkenaan.

Selain itu fitnah kedua yang didakwa pihak plantif terhadap Mohd Asri ialah berhubung satu artikel disiarkan di sebuah portal berita.

Artikel yang disiarkan pada 9 Februari 2019 itu dengan tajuk, “Asri: Sebut Ayob Khan terbayang muka Zamihan”.

“Saya bila sebut Datuk Ayob Khan, saya bukan bayangkan muka beliau, tapi saya bayangkan muka Zamihan, muka dia pun (Ayob) pun saya bayangkan jugalah. Bukan apa, saya nampak kedua-dua individu ini sama saja.

“Bagi saya mereka ini mempunyai pandangan yang begitu sempit, mana tidaknya, dobi tak boleh kongsi Islam dan bukan Islam, malah perkataan kafir itu di bibir saja,” kata Mohd Asri yang dipetik dalam penyata saksi plantif.

Prosiding berlangsung pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Zamihan diawakili Zulkifli Yong, Azmi and Co, manakala Mohd Asri diwakili Faizal Rahman and Co.