SEORANG lelaki yang menyertai pameran kereta di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang ditahan kerana mengubahsuai keretanya menyerupai kenderaan polis.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kenderaan itu dikesan menerusi video viral di TikTok oleh Unit Perhubungan Awam Bukit Aman.
Katanya, lelaki berumur 43 tahun yang merupakan peniaga aksesori kenderaan ditahan pada jam 10.30 malam semalam selepas kereta terbabit viral di TikTok.
“Penahanan dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang selepas melakukan pemerhatian di pusat pameran itu.
“Polis merampas kereta jenis Nissan Skyline R32 yang mempunyai lambang dan corak menyerupai kenderaan polis.
“Kenderaan terbabit mempunyai cukai jalan lengkap dan digunakan oleh pemiliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Wan Kamarul berkata, pemilik kenderaan terbabit telah dibebaskan pada 12 tengah malam dengan jaminan polis.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barangan yang dibekalkan kepada pihak polis untuk melaksanakan tugas.
More Stories
Finding a Good Paper Writing Service
Pemberian PrEP untuk pasangan Gay, adakah KKM sokong LGBT?
Agenda DAP tapi UMNO laksanakan