May 28, 2023

‘Robozeta’ bakal merancakkan lagi animasi tempatan

Spread the love

Dunia animasi negara tidak perlu diperkenalkan lagi, memandangkan Malaysia merupakan pemacu utama industri itu di Asia Tenggara kini.

Dengan sejarah yang agak panjang, industri tersebut menunjukkan tahap matang di Malaysia apabila produk-produk animasi tempatan menembusi pasaran negara luar.

Animasi “Upin dan Ipin” umpamanya sudah lama menembusi negara-negara besar seperti Indonesia dan China.

Mutunya animasi di Malaysia jauh meninggalkan industri filem tempatan.

Namun dalam proses itu, beberapa siri tempatan yang dihasilkan hanya menjadi salinan kepada siri-siri tempatan yang dihasilkan oleh pihak lain sebelum itu.

Red Circle, sebuah studio di Kajang, Selangor hadir dengan siri animasi tersendiri, Robozeta.

Siri tersebut mengisahkan lima robot yang perlu menjaga sebuah bandar dan satu punca kuasa.

Bertemakan kebaikan melawan kejahatan (good versus evil), ia umpama siri Power Rangers versi Malaysia yang diubahsuai untuk tontonan kanak-kanak.

Setiap watak jahat hadir dengan moral dan pengajaran tersendiri untuk dipupuk ke dalam jiwa penonton.

Ketua Animator Red Circle Muhamad Hafiz Abd Samad berkata, idea animasi dibawa untuk proses pembentangan bersama Malaysia Digital Economy Corporatio pada 2016.

“Kita berjaya mendapat tempat pertama dalam sesi itu,” katanya.

“Kemudian kita membangunkan satu video ‘teaser’ yang kemudian kami kembangkan menjadi 13 episod.”

Dalam tempoh setahun, studio berkenaan berjaya menyiapkan musim pertama.

Bahkan, siri animasi itu dibeli syarikat Media Corp dari Singapura dan ditayangkan di negara itu pada 2020.

Katanya, Red Circle memperuntukkan wang sendiri yang diperoleh syarikat daripada perniagaan teras mereka bagi menghasilkan siri itu.

“Kita ada minta geran pada 2017, namun jumlah yang diberi tidak mencukupi daripada apa yang kita mohon,” katanya.

Studio itu kini sudah menyiapkan siri musim kedua dan sedang dalam perancangan untuk menjual slot tayangan di stesen tempatan.

Sementara Pengarah Red Circle Dzahiruddin Ahmad Zabidi berkata, pihaknya optimis dapat menembus pasaran tempatan dan bersaing dengan nama-nama yang lebih dahulu bertempat.