May 28, 2023

Pemimpin Pas tidak melatah dilabel cap ayam – Azman Ibrahim

Spread the love

KEPIMPINAN Pas yang berada dalam kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri diyakini sentiasa berjiwa besar dan berlapang dada untuk dinilai.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penilaian prestasi adalah satu perkara biasa dan setiap orang mempunyai hak untuk menilai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu itu juga yakin kepimpinan Pas tidak akan ‘melatah’ dengan penilaian yang diberikan

“Saya yakin kepimpinan Pas yang berada dalam kerajaan samada sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan Exco sentiasa berjiwa besar dan berlapang dada untuk dinilai. Nak melatah jauh sekali.

“Samada rakyat, kepimpinan parti, Perdana Menteri atau Menteri Besar sentiasa menilai prestasi kita. Itu proses biasa saja.

“Kalau ada yang tak biasa makan sardin label kepimpinan Pas cap ayam, itu hak dia. Dia ingat Ayam brand muroh (murah) bokali (barangkali),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam satu kenyataan kelmarin menempelak prestasi Menteri Kabinet daripada Pas yang didakwa gagal memikul tanggungjawab dengan baik.

Menurutnya, kelemahan kepimpinan parti berkenaan turut menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat perlu menanggung pelbagai masalah negara.

Katanya, menteri-menteri daripada Pas lebih bergaya dengan kedudukan dan pangkat yang ada, namun tidak kompeten dalam melakukan kerja hingga Perdana Menteri memang terpaksa pikul segala masalah dan isu negara.

Beliau melabelkan Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik daripada kalangan pemimpin Pas semuanya jenis Menteri cap ayam.