May 31, 2023

Perbuatan label melabel sama sendiri buat UMNO lemah kata Annuar Musa

Spread the love

Perbuatan melabel sesama sendiri dan membahagi-bahagikan ahli kepada jenis tertentu membuatkan UMNO menjadi lebih lemah.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya berkata, parti yang mahu mendapat kepercayaan perlu mempunyai keupayaan menyatupadukan dan bukan memecahbelahkan rakyat.

“Yang lebih berbahaya adalah cubaan menguasai parti demi kepentingan dan agenda peribadi atau kelompok dengan membiarkan parti kehilangan sokongan rakyat,” katanya.

Kebimbangan Ahli Parlimen Ketereh itu tampak berasas apabila beberapa pemimpin UMNO dilihat berbalas-balas kenyataan di akhbar dan media sosial sekali gus menimbulkan persekitaran yang kurang baik untuk parti itu.

Utusan Online semalam melaporkan, perbalahan dalam kalangan pemimpin UMNO ketika ini akan melemahkan parti terbesar orang Melayu itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li berkata, jika situasi tersebut terus berlaku dibimbangi  mengundang perpecahan lebih ‘dahsyat’ dalam parti itu.

Katanya, pemimpin UMNO perlu bertenang dan tidak saling menyerang antara satu sama lain dalam sesuatu isu.

“Kita sepatutnya bersatu dengan kuat menghadapi musuh menjelang PRU15. Kalau kita terus berkelahi sesama sendiri atau berlainan pendapat kita menjadi lemah,” katanya.