Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) yang belum meluluskan pindaan perlembagaan Umno walaupun parti itu sudah mengemukakan notis pindaan pada 17 Mei.
Beliau yang juga ADUN Rengit mendakwa jabatan itu digunakan sebagai alat politik untuk memusuhi parti yang tidak disukai memandangkan menteri yang menjaganya adalah dari Bersatu.
“Apakah JPPM jabatan paling tidak efisien di Malaysia? Jabatan yang tebal dengan birokrasi dan masih dibelenggu dengan tadbir urus lapuk.
Apakah JPPM alat politik yang hanya memusuhi Umno kerana menterinya dari Bersatu?” soal Puad di Facebook.
JPPM diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri dengan menterinya adalah Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.
Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata JPPM belum mengemukakan sebarang maklum balas mengenai pindaan perlembagaan Umno dan mempunyai masa sehingga 16 Julai untuk meluluskan pindaan bagi menangguhkan pemilihan parti berkenaan.
Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas pada 15 Mei meluluskan usul pindaan perlembagaan Umno bagi membolehkan MKT diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.
Dengan kelulusan rasmi itu, MKT Umno diberi dua pilihan di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan Umno, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) selesai diadakan
More Stories
Finding a Good Paper Writing Service
Pemberian PrEP untuk pasangan Gay, adakah KKM sokong LGBT?
Agenda DAP tapi UMNO laksanakan