Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli terus mengecam segelintir pemimpin yang kalah pada pemilihan parti itu baru-baru ini, sambil menegaskan PKR tidak boleh lagi terpengaruh dengan kumpulan berkenaan, termasuk menangguhkan Kongres Nasional, tatkala Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan bila-bila masa.
Menurutnya beliau sejak awal lagi telah menyatakan pendirian kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaleha Mustafa dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tuntutan mengadakan audit digital hanyalah permainan segelintir anggota parti yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini.
Malangnya, kata beliau, mereka ini rapat dengan Anwar dan merasakan boleh mempengaruhi keputusan untuk memastikan beliau tidak disahkan sebagai Timbalan Presiden.
“Saya telah menjelaskan secara dalaman pandangan saya bahawa motif sesetengah pihak seperti Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terus mempersoalkan pemilihan parti adalah serampang dua mata, iaitu:
“Pertama, untuk cuba mengubah keputusan supaya saya dan beberapa orang lain yang menang bersama saya tidak disahkan oleh Kongres Nasional.
“Kedua, untuk membina persepsi kononnya kemenangan saya dengan jurang yang besar ialah disebabkan manipulasi besar-besaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata Kongres Nasional parti tidak boleh ditangguhkan lagi untuk melayan kerenah segelintir calon yang kalah memandangkan PRU-15 boleh dipanggil bila-bila masa.
Katanya keutamaan beliau sebagai Timbalan Presiden ialah untuk mempersiapkan pimpinan dan jentera parti bagi berdepan dengan lawan dalam PRU-15.
“Sementara kita meneruskan agenda pengukuhan parti ke arah PRU-15, segala ruang dalam parti perlu dibuka untuk membolehkan isu-isu yang ditimbulkan akibat pertukaran keputusan di saat akhir ini terus disemak.
“Antara langkah utama saya sebagai Timbalan Presiden ialah untuk meneliti keseluruhan proses audit digital yang telah mengakibatkan kecelaruan yang berlaku untuk memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak,” katanya.
Menurutnya sebagai Timbalan Presiden, beliau akan mengusahakan supaya satu tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti berniat mensabotaj parti dengan terus-menerus mengkritik pemilihan bertujuan melengahkan kepimpinan baharu mengambil tempat.
Sebagai sebuah parti, kita tidak ada banyak masa untuk kembali ke landasan asal perjuangan kita iaitu membela rakyat ke arah membentuk sebuah masyarakat pelbagai kaum yang saling menghormati, lebih berdaya dan menjamin kehidupan yang lebih baik kepada semua, katanya.
“Saya dan rakan-rakan yang selama ini berdiam diri dengan segala kerenah dari kumpulan-kumpulan yang berkepentingan peribadi ini akan mempercepatkan lagi kempen #AyuhMalaysia untuk membentangkan visi Keadilan untuk masa depan yang lebih baik.
“Saya seru seluruh anggota Keadilan supaya tidak lagi menghiraukan kekecohan yang cuba ditimbulkan oleh segelintir kelompok yang kalah ini dan bekerja untuk kita meyakinkan kembali rakyat bahawa Keadilan adalah pilihan terbaik rakyat,” katanya.
More Stories
Finding a Good Paper Writing Service
Pemberian PrEP untuk pasangan Gay, adakah KKM sokong LGBT?
Agenda DAP tapi UMNO laksanakan