May 31, 2023

Sasar 50 peratus kawasan hijau menjelang 2040

Spread the love

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) menyasarkan 50 peratus kawasan hijau di seluruh negara menjelang tahun 2040.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata bagi mencapai tujuan itu, semua program yang dianjurkan diwajibkan menanam pokok supaya dapat mencapai sasaran 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun.

“Sekarang kita sudah mencapai 43 peratus kehijauan kawasan dan 50 peratus dapat dicapai di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak kerana setiap tahun kita perlu menanam 20 juta pokok dan sejak dilancarkan pada Januari 2021 sehingga 31 Disember tahun lalu sudah mencapai 27 juta,” katanya dalam sidang media Program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) di Dewan Serbanguna Sungai Tinggi, di Sungai Kerang, dekat Trong, hari ini.

Takiyuddin berkata untuk tahun ini pihaknya dijangka mencapai sasaran 36 juta pokok dan memerlukan empat juta lagi dalam tempoh enam bulan sehingga akhir Disember ini.

“Saya mengajak orang ramai untuk menanam pokok di semua masjid dan institusi pengajian tinggi supaya sasaran 50 peratus kehijauan di negara ini dapat dicapai,” katanya.