Dua bekas Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah digesa berhenti berbalah dan tuduh menuduh antara satu sama lain berhubung isu projek ladang durian Musang King di Gunung Inas, Baling.
MB Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak mahu terlibat dalam perang mulut antara kedua-dua bekas MB tersebut kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya mahu memberi fokus kepada isu banjir yang sedang dihadapi rakyat di negeri itu ketika ini.
“Saya tak mahu terlibat dalam permainan tuduh-menuduh ini, mereka cuba seret saya masuk, tetapi saya tak tunding pada sesiapa. Orang tanya saya jawab, bukan kerja saya cari salah orang. Perbuatan bergaduh ini tidak akan selesaikan masalah mangsa.
“Semua orang hendak tahu siapa salah, adakah orang bersalah dapat bina rumah mangsa yang roboh? Saya nasihat jangan gaduh, yang penting kita kena selesaikan masalah, kena bela nasib mangsa banjir,” katanya dipetik laporan BH.
Sanusi terdahulu melancarkan inisiatif Parkir Pintar Kulim di Wisma Darul Aman hari ini.
Pada 6 Jun lalu, berlaku bencana banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Baling, yang dikaitkan dengan projek ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas, yang menyaksikan tiga nyawa penduduk terkorban dan ribuan penduduk menjadi mangsa.
Semalam, Mukhriz mendakwa syarikat ECK dibenarkan menanam durian di Gunung Inas ketika kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang diketuai Ahmad Bashah antara 2016 hingga 2018.
Sanusi juga sebelum ini mendedahkan projek ladang tersebut tidak diluluskan dibawah pentadbirannya, ia sebaliknya diluluskan sekitar 2018-2019.
More Stories
Finding a Good Paper Writing Service
Pemberian PrEP untuk pasangan Gay, adakah KKM sokong LGBT?
Agenda DAP tapi UMNO laksanakan