May 28, 2023

Selepas Mahkamah Sivil, wanita hina Islam akan didakwa di Mahkamah Syariah

Spread the love

Wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail TTDI pada minggu lalu, Siti Nuramira Abdullah, 26, akan didakwa di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary seperti dilaporkan dalam sebuah portal berita berkata Siti Nuramira akan didakwa di bawah Seksyen 7 (Menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll. agama Islam) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559).

Semalam, Siti Nuramira didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

Mengikut pertuduhan, Siti Nuramira didakwa mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Restoran Crack House Comedy Club, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields, jam 6 petang, pada 4 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu perbuatan berkenaan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama, di antara orang yang menganut agama sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. BTV3