Selepas tiada satu kapal pun berjaya disiapkan daripada projek Kementerian Pertahanan (Mindef) bernilai RM9.1 bilion, baharu sekarang Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan pesalah akan dihukum sekiranya didapati bersalah.
Menteri Kanan Pertahanan itu berkata tindakan akan diambil terhadap pesalah terlibat dalam perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang bermula sejak 2013 dan sepatutnya disiapkan pada 2023 tetapi sehingga kini tiada satu kapal pun berjaya disiapkan.
“Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan,” kata Hishammuddin dalam satu kenyataan yang juha memberitahu siasatan sedang berjalan dan disyor disegerakan.
Kenyataan Hishammuddin itu hadir susulan pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung isu LCS hari ini.
Jelasnya lagi, Mindef dan semua pemegang taruh akan meneliti laporan tersebut dan mengambil kira kesemua syor meneruskan projek itu.
Berkaitan usasha di peringkat kerajaan, dia berkata pada April lalu, kabinet bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pengilang peralatan asal OEM dan vendor.
Seterusnya, menurut pelan itu, memuktamadkan rancangan masa hadapan perolehan LCS seperti yang dimahukan serta diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Selain itu, katanya, kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha perbendaharaan Kementerian Kewangan (MoF) serta ketua setiausaha Mindef.
Jawatankuasa itu, katanya, ditugaskan memantau secara dekat terutama proses mobilisasi dan melaporkan perkembangannya kepada kabinet.
“Melangkah ke hadapan, perkara paling penting sekarang ialah untuk memastikan projek LCS ini dapat diteruskan dengan lancar.
“LCS aset yang amat diperlukan demi keselamatan perairan negara, sejajar dengan Program Transformasi Armada 15 to 5, dan demi kepentingan TLDM,” katanya.
Perolehan enam LCS yang dijalankan secara rundingan terus dengan nilai kontrak RM9.1 bilion merupakan perolehan terbesar dalam sejarah Mindef dan juga antara projek terbesar kerajaan Malaysia.
“Kontrak perolehan LCS yang bermula dari 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 bertujuan meningkatkan keupayaan TLDM.
“Namun sehingga hari ini tiada LCS yang disiapkan,” kata PAC.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata kontrak projek itu diberikan kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk membina lima LCS.
Isu berkaitan LCS semakin menarik apabila pada Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menahan dua ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat susulan penemuan petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam LCS oleh BNS.
More Stories
DAP Islamfobia: Apakah salah menyatakan kebenaran?
Israel gembira Anwar jadi Perdana Menteri
Bekas Ketua Hakim Negara kritik tindakan Zahid