KUALA LUMPUR: Belum pun reda `bahang’ kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, perhatian negara sekali lagi akan tertumpu kepada keluarga bekas Perdana Menteri itu – kali ini melibatkan keputusan penting terhadap isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.
Pada Khamis ini, Rosmah akan mengetahui keputusan sama ada beliau disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.
Selepas kira-kira empat tahun turun naik mahkamah’, isteri bekas Perdana Menteri itu akan mengetahui
nasibnya’ yang akan ditentukan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
“Kes kita sudah sampai ke penghujung jalan, jadi sudah tiba masanya untuk menamatkan perjalanan dan menetapkan tarikh untuk keputusan,” demikian kata-kata Hakim Mohamed Zaini ketika menetapkan tarikh keputusan sewaktu prosiding pada 12 Mei lalu.
Rosmah, 70, bakal menjadi tumpuan negara kerana apa sahaja keputusan dan alasan penghakiman yang diumumkan oleh hakim berkenaan akan membawa impak yang besar terhadap beliau selaku isteri bekas Perdana Menteri.
Bagaimanapun, sebelum keputusan diumumkan, polis menerima aduan daripada Pegawai Undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Ketua Unit Penyelidikan) Jumaat lalu berhubung insiden pembocoran dokumen penghakiman perbicaraan tersebut yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Siasatan itu merujuk kepada laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu.
Media melaporkan, susulan itu siasatan dibuka di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 ( kerana kesalahan membocorkan maklumat), Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mendedahkan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik). – UTUSAN
More Stories
Finding a Good Paper Writing Service
Pemberian PrEP untuk pasangan Gay, adakah KKM sokong LGBT?
Agenda DAP tapi UMNO laksanakan