May 28, 2023

Rakyat mahu kerajaan tumpu ekonomi bukan PRU segera

Spread the love

Rakyat mahu kerajaan menumpukan usaha untuk memulihkan ekonomi dan bukan mengadakan pilihan raya umum (PRU) segera, kata naib presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berpendapat, masalah yang membelenggu rakyat pada ketika ini ialah soal kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

“Saya tengok rakyat tidak mengharapkan pilihan raya sebab isu bagi rakyat hari ini adalah isu ekonomi, masalah sara hidup, masalah harga barang, itu sebenarnya bagi rakyat.

“Sebab itu pada pandangan saya, saya selalu sebut dua tiga kali, sepatutnya kita bagi peluang kepada perdana menteri untuk bekerja bagi menyelesaikan isu-isu yang rakyat hadapi ketika ini.

“Kalau kita buat pilihan raya dalam keadaan rakyat ini tertekan dan sebagainya, kos pilihan raya ini besar, jadi bagi saya, tidak ada keperluan sebenarnya,” jelasnya kepada Astro Awani di Kota Bharu.

Mohd Amar mengulas usaha pemimpin tertentu dalam Umno untuk menekan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan pilihan raya tidak lama lagi.

Penggal Parlimen berakhir pada 16 Julai 2023.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada sesi taklimat khas Umno pada Sabtu lalu sekali lagi menegaskan bahawa PRU perlu diadakan segera kerana ia merupakan suara akar umbi Umno.

Bagaimanapun, pemerhati melihat gesaan agar PRU diadakan segera mempunyai kaitan dengan perbicaraan terhadap beberapa pemimpin Umno – termasuk Zahid sendiri – di mahkamah. MK