June 4, 2023

PAS cadang runding 27 kerusi kritikal bersama UMNO

Spread the love

PAS bercadang untuk meneruskan rundingan bersama Umno dalam menentukan 27 kerusi ‘kritikal’ bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 27 kerusi kritikal itu merupakan kerusi yang pernah dimiliki PAS dan Umno, namun kini merupakan milik Pakatan Harapan (PH).

“Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) perlu duduk bersama, ada 27 kerusi yang kita rasa kritikal jika bertembung.

“PAS terbuka dalam hal ini dan melihat kepentingan pada masa hadapan serta bersedia dalam semua situasi. Jika PN dan BN bertembung pada 27 kerusi ini, kedua-duanya akan rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali ke-63, Hotel Raia Alor Setar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua DPPM, Ahmad Fadhli Shaari, dan Naib Ketua DPPM, Hanapi Zulkapli.

Justeru kata Tuan Ibrahim, perbincangan dan rundingan itu mungkin berlaku jika kedua-dua komponen bersetuju dan yakin tiada sebarang isu akan timbul dalam persiapan ke arah PRU-15.

Jelas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, PAS masih mendokong Penyatuan Ummah sebagai teras dalam penyatuan politik.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang rundingan bersama BN berkenaan hal itu dilakukan setakat ini, hanya bergantung kepada hubungan baik antara parti dalam kerajaan persekutuan.

“Tiada rundingan, cuma hubungan dalam konteks kerajaan persekutuan yang sangat baik, tetapi dalam konteks parti belum (ada rundingan),” katanya. – HARAKAHDAILY