June 4, 2023

Ulama PAS tolak tokoh terpalit rasuah jadi calon PRU15

Spread the love

MUKTAMAR PAS | Dewan Ulama PAS menyuarakan cadangan agar kerajaan mengetatkan lagi syarat untuk seseorang individu layak dipilih sebagai calon pilihan raya.

Ketuanya Ahmad Yahya berkata cadangan tambahan itu wajar diketengahkan berdasarkan keadaan semasa.

Kata Ahmad, antara syarat baru yang diperlukan ialah menggugurkan kelayakan seseorang menjadi calon jika dia pernah mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian negara, serta mempertikaikan hak-hak keistimewaan yang termaktub dalam perlembagaan.

“Hal yang demikian termasuklah mereka yang sedang dalam perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah, juga tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana kita bimbang mereka akan menggunakan kedudukan mereka untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

“Dalam aspek ini kita mengharapkan agar kes-kes melibatkan rasuah dan salah laku para pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif.

“Kita semua perlu mengangkat semula maruah demokrasi dalam negara selaras dengan prinsip Islam,” katanya ketika menyampaikan ucap utama sempena Muktamar Dewan Ulama PAS kali ke-61 di Guar Chempedak, Kedah, hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika mengulas kejayaan kerajaan meluluskan pindaan perlembagaan bagi menyediakan ruang peruntukan berkenaan larangan ahli dewan rakyat bertukar parti.

Menurut Ahmad pindaan tersebut tidak hanya melibatkan individu calon serta parti politik yang mewakili rakyat semata-mata, bahkan pindaan yang dibawa ini bakal merubah ekosistem politik negara secara keseluruhannya. MK