May 31, 2023

Hargai mujahid siber, dana sebagai penyuntik semangat

Spread the love

PAS perlu menambah pasukan tentera siber di seluruh negara bagi menepis persepsi negatif dan fitnah dicipta pihak lawan terhadap parti itu.

Perwakilan Perak Fairuz Hafizh Othman, berkata jentera penerangan dikenali ‘Mujahid Siber’ perlu diurus dengan baik, termasuk disediakan dana atau token memandangkan tugas itu bukan lagi boleh dianggap kerja sambilan, selain penting membantu kemenangan parti, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah memiliki pasukan Mujahid Siber yang baik apabila kumpulan itu diperuntukkan “dana penghargaan”, sekali gus ia wajar diperluas di seluruh negara.

“Jika di peringkat negeri kita boleh laksanakan, apakah di peringkat pusat (di mana) kita ada menteri, timbalan menteri selain GLC (syarikat berkaitan kerajaan) perkara ini tidak dapat dilaksanakan?

“Saya tidak pasti ia masih berjalan atau tidak, tetapi yang saya pasti kita pernah melaksanakan sebelum ini walaupun angka kecil,” katanya berucap di Muktamar PAS ke-68 di Kompleks PAS Kedah.

Setiausaha PAS Perak itu, berkata walaupun pasukan tentera siber PAS tidak meminta sebarang bayaran dalam membantu parti, tidak salah untuk golongan itu diberi sedikit bantuan sebagai penyuntik semangat.

“Selain jentera dibina melalui organisasi parti, kita memiliki penyokong dari Mujahid Siber yang kita istilahkan sebagai tenaga swasta, mereka ini bertaburan di pelusuk negara malah sebahagian mereka sangat komited dan berpengalaman.

“… hargai dan santuni golongan ini, mereka bukan pesaing tetapi komando dan gerila yang ikhlas berjuang untuk jemaah, mereka tidak meminta dibayar tetapi tidak salah menghargai usaha dan kesungguhan mereka, bertayalah apa keperluan mereka agar hubungan yang terjalin memudahkan kerja,” katanya. Fmt