May 31, 2023

MUDA sasar bertanding 15 kerusi Parlimen

Spread the love

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bersetuju menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai antara parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata hal itu diputuskan melalui Persidangan Pilihan Raya Muda yang berlangsung semalam dan hari ini.

Beliau berkata, MUDA juga terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung hal itu, dengan cadangan menyertai PH juga sebenarnya sudah bermula sejak berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Muda terbuka membincangkan secara rasmi bersama dengan Majlis Presiden PH untuk membincangkan hala tuju negara untuk memastikan suara rakyat diangkat dan bina Malaysia maju dan bermaruah, berintegriti serta meraikan kepelbagaian agama dan kaum.

“Saya juga ada minta nasihat dan pandangan berkenaan penyertaan MUDA dalam blok PH dan perbincangan sudah bermula sejak beberapa bulan yang lepas, sebaik saja tamatnya PRN Johor. Jadi saya kongsikan perbincangan dengan Datuk Seri Anwar (Ibrahim) minggu lepas. Dengan pimpinan PKR, DAP dan AMANAH (Parti Amanah Negara) beberapa kali sejak sebaik tamat PRN Johor.

Ini perbincangan tidak rasmi. Tapi selepas keputusan rasmi dibuat di peringkat MUDA, tindakan seterusnya, kita akan adakan perbincangan rasmi. Keutamaan bagi MUDA adalah untuk memastikan pasukan ini memenangi PRU dan mengukuh serta mengangkat martabat rakyat, bukan soal kerusi semata-mata,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, MUDA juga menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen pada PRU akan datang termasuk di Parlimen Muar, yang kini diwakilinya.

“Kita (MUDA) bukan melihat kerusi Parlimen satu kawasan saja, malah kita juga melihat semua kerusi Parlimen di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga ada pasukan yang kuat di Borneo, jadi kita akan letak calon di sana,” katanya turut menjelaskan tawaran MUDA untuk PRU ke-15 untuk menampilkan calon berwibawa, mengangkat kepemimpinan wanita dan orang muda serta membawa idea yang progresif untuk rakyat.

Pada sidang media sama, Syed Saddiq turut mengumumkan Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz sebagai Pengarah Pilihan Raya MUDA bersama sembilan anggota Jawatankuasa Pilihan Raya parti itu. – BH