May 31, 2023

Sanusi sokong Terengganu, kasi ‘bakar line’ sama JDT

Spread the love

ALOR SETAR: Tanpa berselindung, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini menyatakan sokongan kepada Terengganu FC untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala FA, Sabtu ini.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, antara sebab beliau berbuat demikian adalah kerana isterinya berasal dari Terengganu.

Selain itu katanya, beliau juga percaya bahawa sokongan rakyat Malaysia akan menyokong Terengganu FC dalam perlawanan akhir itu nanti.

“Saya sokong Terengganu sebab isteri saya berasal dari situ. Setakat ini saya belum berkahwin dengan orang Johor dan orang biasa macam saya sentiasa menyokong pasukan yang dilihat sebagai ‘underdog’.

“Rasanya semua sokongan rakyat Malaysia akan pergi ke Terengganu FC dan kalau tak percaya, kita tunggu. Orang Johor saja sokong Johor dan negeri lain, semua Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Kedah Sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Dewan Seri Mentaloon dekat sini, hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial klip video berdurasi 21 saat memaparkan Muhammad Sanusi menyarung jersi Terengganu FC.

Keadaan itu menimbulkan pelbagai cakap-cakap dalam kalangan peminat bola sepak tanah air mengenai sokongan Muhammad Sanusi terhadap Terengganu FC.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau akan menerima ketentuan sekiranya Terengganu FC tewas kepada JDT nanti.

“Saya akan terima dengan berlapang dada,” katanya. – UTUSAN ONLINE