May 28, 2023

Afif intai Parlimen Shah Alam mahu cabar Khalid Samad

Spread the love

KUALA LUMPUR: Dua kawasan Parlimen menjadi pilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) iaitu Shah Alam dan Permatang Pauh, selain mempertahankan kedudukan sebagai ADUN di kawasan sama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Afif berkata, ini kerana beliau adalah anak jati Shah Alam, dan dalam masa yang sama telah berkhidmat sebagai ADUN Seberang Jaya selama dua penggal.

“Saya memang buat kerja politik sekarang ini di dua tempat, satu di Permatang Pauh ke­rana saya ADUN di situ dan saya juga membantu Perikatan Nasional (PN) di Shah Alam. Saya anak jati Shah Alam, saya lahir, membesar, sekolah di Shah Alam, cuma ke Pulau Pinang itu apabila saya bekerja, saya ma­suk politik dan diminta untuk bantu di sana.

“Memang saya sudah lama meletakkan niat untuk kembali ke Shah Alam, kerana tidak adil pada saya jika berkhidmat di Pulau Pinang, tetapi saya tidak datang menabur bakti di kampung halaman saya. Sebab itu apabila saya bersama Bersatu, saya terus daftar sebagai ahli Bersatu Shah Alam dan saya Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Jelas Afif, perkara itu telah dimaklumkan kepada pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menentukannya.

Mengulas mengenai penyandang kini di kedua-dua Parlimen itu, jelas Afif, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tidak mempunyai idea baharu sekali gus muka baharu perlu diberi peluang untuk memimpin di kerusi tersebut.

“Saya tahu beliau (Khalid) dah berapa penggal di situ, bahkan saya juga pernah me­ngundi beliau pun, tetapi saya nampak dia tak bawa idea baharu ke Shah Alam, saya lihat mungkin dengan adanya saya di situ kalau diamanahkan PN untuk bertanding, dipilih rak­yat di Shah Alam, saya nak lihat beberapa perkara termasuk sekolah yang terpinggir, kurang prestasinya.

“Mungkin sudah tiba masa menawarkan muka baharu di Shah Alam untuk bawa idea baharu,” jelasnya.

Perkara yang sama turut dijelaskan Afif mengenai Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dengan menjelaskan pemimpin itu tidak komited dalam menguruskan hal rakyat di Permatang Pauh.

“Di Permatang Pauh pula, majoriti Melayu yang berjaya, berpendidikan, saya tak nampak idea baharu dibawa oleh Nurul Izzah. Bahkan ketika saya masih dalam PKR, sukar saya dapatkan komitmen beliau turun ke padang bersama masyarakat di Permatang Pauh, “ ujarnya. – UTUSAN