May 31, 2023

JDT juara Piala FA 2022, Johor umum cuti esok

Spread the love

Kerajaan Johor secara rasmi mengumumkan Ahad (11 Sept) sebagai cuti khas peristiwa, sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Azmi Rohani dalam satu kenyataan berkata pemberian cuti khas peristiwa itu, sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong JDT dan yang telah memberikan sepenuh komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan JDT, dalam mengharumkan nama Negeri Johor Darul Ta’zim.

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 11 Sept 2022, sebagai hari Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor, sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA Malaysia 2022.

“Keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada sebentar tadi, JDT melakar kemenangan dengan menundukkan Terengganu (TFC), 3-1.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menerusi satu hantaran di laman facebooknya turut mengumumkan esok sebagai cuti khas peristiwa Johor.

Sehubungan itu PAS Johor juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah atas kemenangan.

“Ayuh Johor! Ayuh Johor! Luaskan kuasamu Johor!

Hebat, mantap, setinggi-tinggi Tahniah diucapkan buat pasukan Johor Darul Takzim, Pasukan pilihan ramai atas kejuaraan merangkul kejayaan dalam perlawanan bola sepak peringkat akhir PIALA FA menewaskan pasukan Terengganu FC (TFC) dengan jaringan gol 3-1 sebentar tadi.

Aksi hebat oleh kesebelasan utama pemain daripada kedua-dua pasukan di atas padang Stadium Bukit Jalil pada malam ini sehingga wisel penamat dibunyikan, sangat terbaik dan tidak mengecewakan. 💪💪

JOHOR Southern Tigers Juara Piala FA 2022 💙❤️”