SHAH ALAM: Kumpulan penyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat mula berkumpul di hadapan bangunan Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.
Mereka dilihat tiba seawal jam 7.45 pagi sebelum dua buah bas, difahamkan dari Kuala Nerus, Terengganu tiba kira-kira jam 8.15 pagi tadi.
Penyokong yang majoritinya memakai baju berwarna putih turut membawa sepanduk dengan tulisan “Solidariti 4 AZH” dan memegangnya sepanjang berada di pekarangan mahkamah.
Sejak dari tadi juga penyokong melaungkan “Hidup Presiden” dan beberapa kata semangat lain buat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Keputusan sama ada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), akan diketahui pagi ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa dijadual menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada 9 pagi.
Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap Ahmad Zahid, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri manakala jika sebaliknya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.
Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.
Pada 11 Ogos, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Mei 2021 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 7 September lalu.
More Stories
Perbicaraan kes rasuah Zahid tangguh ke tahun depan
Syed Saddiq diarah membela diri atas 4 pertuduhan
Pecah amanah, pengubahan wang haram, nasib Syed Saddiq diketahui esok