June 4, 2023

MADA siap siaga pelan persediaan hadapi banjir

Spread the love

MADA SIAP SIAGA PELAN PERSEDIAAN HADAPI BANJIR

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengaktifkan pelan persediaan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum terutama menjelang fenomena La Nina yang dijangka bermula hujung tahun ini.

Pengerusinya, YB Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata pihaknya berada pada tahap persediaan yang maksimum dalam memastikan infrastuktur pengairan dan saliran serta kelengkapan yang lain berada dalam keadaan baik.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca bagi tempoh September hingga Februari 2023 menunjukkan, jangkaan kitaran atmosfera berlaku di kawasan tropika, konsisten dengan keadaan La Nina.

“Ramalan menunjukkan pada bulan September 2022 hingga Februari 2023, Perlis dan Kedah akan menerima taburan hujan pada paras purata di antara 200 hingga 300 mm di Perlis dan 290 hingga 440 mm di Kedah.

“Kawasan Muda berkemungkinan menerima turunan hujan lebat di kawasan tadahan empangan, tadahan sungai dan kawasan sawah. Turunan hujan ini akan menyebabkan penambahan takungan air di empangan, peningkatan aliran sungai dan kenaikan kedalaman air di kawasan sawah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ahmad Tarmizi berkata, dalam menghadapi kemungkinan banjir, MADA sentiasa peka dengan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh MetMalaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

Menurutnya lagi, operasi saliran air banjir adalah melalui infrastruktur utama sedia ada yang membabitkan sistem Arau, sistem Lanabulu, sistem Alor Changileh, Pelubang Barrage serta Tandop Pasang Surut Ampang Jajar.

Melalui perancangan ini, beliau berharap dapat meminimumkan kerosakan kepada peladang jika bencana banjir ini berlaku di Kawasan Muda.

“Sehingga hari ini, kedudukan paras takungan air di Empangan MADA berada dalam keadaan mencukupi iaitu di Empangan Pedu berada pada kadar 859,625 juta meter padu atau 98.27 peratus; Empangan Muda pada kadar 123,950 juta meter padu atau 99.16 peratus; dan Empangan Ahning pada kadar 186,979 juta meter padu atau 83.85 peratus,” katanya.

Para peladang di Kawasan Muda disarankan untuk berhubung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berdekatan sekiranya mempunyai pertanyaan atau aduan dan pihak MADA sentiasa bersedia membantu bagi melancarkan aktiviti penanaman di Kawasan Muda.