May 31, 2023

Peguam beri 127 sebab kenapa Rosmah mesti dibebas

Spread the love

PUTRAJAYA: Petisyen rayuan difailkan bagi pihak Rosmah Mansor telah menyenaraikan 127 sebab mengapa Mahkamah Rayuan mesti mengetepikan kedua-dua sabitan dan hukumannya dalam projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Petisyen itu, yang menggariskan hakim perbicaraan Zaini Mazlan dikatakan tersilap fakta dan undang-undang, difailkan di Mahkamah Rayuan semalam melalui peguam caranya, Akberdin & Co.

Peguamnya berkata, isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan semua unsur dalam tiga pertuduhan rasuah yang dihadapkan ke atasnya.

“(Memanggilnya membela diri) adalah prejudis yang serius terhadapnya,” kata mereka sambil menambah Zaini tidak memberikan alasan apabila memutuskan bahawa pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie tahun lalu.

Zaini telah memutuskan pada 1 Sept bahawa Rosmah, 70, meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Ini dilakukan menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor sebagai dorongan untuk membantu syarikat mendapatkan projek itu.

Hakim turut mendapati dia menerima rasuah RM5 juta daripada Saidi, melalui Rizal, di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Dis 2016, dan RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Rosmah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Dalam penghakiman setebal 116 muka surat, Zaini berkata pembelaan Rosmah adalah penafian kosong tanpa bukti yang boleh dipercayai, dan tidak menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Petisyen itu mendakwa Rizal adalah dalang kepada keseluruhan rancangan itu dan menggunakan kedudukan dan pengaruh Rosmah tanpa pengetahuannya untuk mencapai agenda peribadi dan politiknya.

Rizal dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadapnya untuk menjadi saksi utama mereka.

Peguam juga mendakwa, Zaini sepatutnya mendapati bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid, Madinah Mohamed dan Alias Ahmad, yang hadir sebagai saksi pendakwaan, tidak boleh dipercayai kerana mereka juga terlibat dalam salah laku berkaitan projek itu.

Mereka berkata, hakim juga gagal untuk menghargai pembelaan Rosmah bahawa wang itu adalah sumbangan politik untuk Najib bagi persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) 2018.

Peguam-peguam itu berkata, jika dilihat secara keseluruhannya, Zaini telah tersilap dalam analisisnya dengan membuat keputusan bercanggah dengan keterangan dikemukakan dalam perbicaraan.

Mereka berkata, hakim telah tersilap dalam membuat kesimpulan bahawa Rosmah mencampuri urusan kerajaan semasa Najib menjadi perdana menteri.

Mereka juga berkata, Zaini tersilap menjatuhkan hukuman berat dan gagal mempertimbangkan faktor yang meringankan.

Peguamcara Rosmah turut memfailkan petisyen rayuan berasingan yang mendakwa Zaini silap kerana enggan menarik diri daripada perbicaraan atas alasan pihak ketiga kononnya menyediakan penghakiman yang mensabitkan Rosmah.

Dalam menolak usaha saat akhir Rosmah untuk membatalkan kelayakannya, Zaini berkata beliau menulis semua penghakimannya berdasarkan undang-undang dan fakta.

  • FMT