May 28, 2023

Isu air di Kelantan yang ramai masih tak tahu

Spread the love

Air untuk rakyat Kelantan

RAMAI yang bercakap isu masalah air di Kelantan saban waktu. Ada pengguna di Kelantan sendiri bising, dan banyak juga dikecohkan oleh mereka di luar Kelantan yang tiada sangkut paut pun. Apatah lagi diheret oleh politikus murahan yang menjadikan isu bekalan air bersih Kelantan sebagai modal ratib serta zikir sempit kempen memburuk-burukkan Kerajaan Negeri Kelantan.

Namun, apa sebenarnya masalah yang disebutkan? Masalah air di Kelantan apa masalahnya? Mengikut rekod negeri, beberapa punca utama menjadi hambatan kepada Kelantan dalam menyediakan bekalan air terawat mencukupi iaitu kuantiti air tidak cukup, tekanan rendah, kualiti rendah dan juga agihan yang tidak cekap. Itu asasnya.

Manakala sumber air utama bagi Kelantan adalah air dalam tanah, tapisan air sungai dan air sungai itu sendiri serta terbaru takungan air pinggiran sungai (TAPS), Empangan Nenggiri dan Lebir bakal menjadi sumber tambahan.

Masalah paling besar

Air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW) adalah masalah paling utama dihadapi Kelantan saat ini. Ia adalah masalah di mana air bersih terawat yang dihasilkan ‘menghilang’ sebelum sampai kepada pengguna. Hilangnya air ini membawa kepada kerugian yang pelbagai; rugi kepada rakyat yang tidak cukup air, dan rugi juga kepada syarikat operator air. Serta kerajaan kerana kehabisan wang menyediakan pelbagai fasiliti dan proses, namun akhirnya air tidak sampai ke meter rakyat untuk caj bil.

Buat masa ini NRW negeri adalah setinggi 52 peratus yang membawa maksud setelah semua loji-loji rawatan air negeri melepaskan 100 peratus air untuk pengguna, hanya sekitar 48 peratus sahaja yang sampai ke pengguna. Selebihnya? Ditelan bumi sudah pasti.

Paip di Kelantan sudah tua dan uzur. Sepanjang 8,121 kilometer (km) paip yang wujud, telah dikenalpasti bahawa paling teruk rosak, pecah, bocor dan apa juga penyebab NRW tadi adalah sejauh 4,006 km! Ya hampir separuh paip di Kelantan adalah ‘malfunction’!

Ia wajib ditukar, diganti, dibuat laluan baharu untuk menghapuskan NRW ini. Namun pada 2018 hanya 241.42 km sahaja yang mampu ditukar melibatkan daerah Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat manakala pada 2019 hanya sejauh 225.2 km yang berjaya diganti dalam daerah Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.

Bagi tahun 2021 sehingga 2023 pula, pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) hanya meluluskan projek menukar paip sepanjang 343 km sahaja.

Nah tuan-tuan, cuba kira banyak mana lagi paip yang perlu ditukar? Bilakah masalah penukaran paip 4,006 km ini boleh selesai?

Masalah-masalah lain

Kelantan sentiasa komited dalam menyelesaikan masalah ini, termasuklah dengan melaksanakan proses pelantikan perunding yang cekap, kerja-kerja ukur segera, pengambilan tanah, pembinaan tangki baharu, pemasangan paip-paip agihan dan menyegerakan semua kerja berkaitan NRW.

Namun, satu lagi masalah melibatkan isu penggantian paip uzur ini selain dana dan peruntukan adalah terdapat banyak paip yang berada di bawah jalan-jalan utama dalam Kelantan. Sudah pastinya memerlukan kerjasama dan kelulusan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan dan sebagainya. Ia rumit.

Loji rawatan air bermasalah?

Secara asasnya loji rawatan air (LRA) di Kelantan adalah beroperasi pada tahap yang memuaskan. Sebanyak 37 LRA seluruh daerah dengan pelbagai saiz dan kapasiti sepatutnya mampu membekalkan 458 juta liter air sehari (JLH) berbanding keperluan semasa rakyat iaitu 512 juta liter sehari.

Namun, atas sebab banyaknya loji yang berfungsi di bawah kapasiti sepatutnya, maka bekalan air bersih terawat menjadi tidak cukup. Mengambil contoh LRA Merbau Chondong yang sepatutnya mampu mengeluarkan 124 JLH, namun ia hanya mengeluarkan 45 JLH. Dan kadang kadang pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terpaksa mengeluarkan sehingga 68 JLH walaupun ia tidak mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semata-mata mahu air sampai ke kepala paip rumah rakyat.

Kini wujud beberapa mini LRA yang diharapkan mampu membekalkan air bersih kepada rakyat dalam masa segera seperti di Telok Mesira, Ketereh, Jelawat dan beberapa yang lain. Biarpun sekadar 2-4 JLH sahaja, namun ia menjadi sinar baharu pengguna.

Wang masalah utama perbekalan air negeri?

Ya. Memang dana adalah perkara paling utama dalam menyelesaikan masalah ini. Pelbagai kerja dan usaha segera boleh dilaksanakan dengan dana yang cukup. Itu perkara wajib.

Tetapi terdapat juga perkara-perkara di luar kawalan seperti masalah pengoperasian dan kerja tapak. Contoh terdekat adalah di Loji Tanjung Mas yang mana digali beberapa buah telaga air untuk membekalkan sumber air tambahan kepada loji ini. Malangnya, setelah penggalian dibuat sehingga kedalaman 100 meter, terlalu banyak ‘fine sand’ ataupun pasir yang teramat halus telah memenuhi ruangan ‘telaga’ menyebabkan air yang disedut tidak boleh digunakan. Ia bercampur dengan ‘fine sand’ tadi dan turut menyebabkan pam air rosak akibat tersumbat.

Ini antara isu yang merencatkan masalah perbekalan air. Wang sudah habis, kontraktor dan konsultan telah dilantik, tetapi nasib tidak menyebelahi kita. Ia boleh diperbaiki namun sudah pasti melibatkan kos tambahan dan juga masa yang panjang.

Peranan semua

Minggu lepas, Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM), Dr Mohd Roshdi Hassan dan saya sendiri sempat berkunjung ke pejabat YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air di Putrajaya.

Turut hadir adalah Pengerusi Wira Air Malaysia, Encik Mohamed Hilmi Che Ramli dan Presiden NGO Sahabat Alam Malaysia, Encik Muhammad Afif Eqmal Mohd Amzuki.

Perbincangan berkisar mengenai isu pembangunan bekalan air Kelantan dan juga pembinaan naratif positif dalam kalangan pengguna air negeri ini. Kita cukup faham bahawa isu air ini tidak mampu selesai dalam masa setahun dua, namun pengguna wajib tahu ‘progress’ penyelesaian isu ini. Biarpun lambat, tapi rakyat tahu ia sedang diselesaikan.

Itu hasrat kami. Dan perkara ini sudah pasti mengembalikan semula keyakinan pengguna kepada AKSB dan seterusnya mereka yang telah berputus asa dengan ‘air Kelantan’ dan menamatkan meter air AKSB, akan menyambung ia semula. Dan sasaran lain adalah, pengguna air Kelantan akan bertambah lagi daripada sekitar 260,000 akaun sedia ada. Semoga ada sinar!

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre