May 28, 2023

Siapa calon PRU15 di Parlimen Shah Alam?

Spread the love

P.108 Shah Alam antara parlimen yang menjadi tumpuan dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15. Selain ibu kota operasi pentadbiran persekutuan dan negeri, ia juga ibu segala peperangan PRU-15 di Selangor, malah di Malaysia.

Wakil rakyat sebelum ini, Khalid Abdul Samad daripada Pakatan Harapan (PH) dilaporkan ‘cabut lari’ ke Parlimen Titiwangsa. Pembantu dan bekas Setpol beliau – yang agak kurang dikenali – Azli Yusof dikatakan akan mengambil alih sebagai calon PH.

Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pula dijangkakan akan menurunkan calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pimpinan Dato’ Ibrahim Ali, iaitu Mohd Khairul Azam Abdul Aziz. Malah, mereka sejak mendirikan pusat operasi di Seksyen 13 dua tahun lalu telah acapkali mewar-warkan peguam Putra ini untuk bertanding di situ.

Barisan Nasional (BN) walaupun masih berrahsia, namun senario politik menunjukkan mereka akan mengekalkan calon PRU lepas, Datuk Azhari Shaari yang juga Ketua Umno Bahagian Shah Alam, kecuali wahyu peringkat negeri berkehendak sebaliknya.

Rakan Umno dalam Muafakat Nasional, Pas dijangka tidak menurunkan calon sebaliknya akan diwakili oleh rakan Perikatan Nasional (PN), PPBM. Calon sebenar PN dijangka diketahui pada majlis yang dianjurkan mereka pada 25 Oktober 2022 di Seksyen 18. Majlis tersebut dijadualkan dihadiri sendiri oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN.

Cakap-cakap politik menyebut PN akan diwakili oleh Dr. Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Pulau Pinang setelah menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat dalam PRU Ke-14. Untuk rekod, beliau adalah Pegawai Tugas-tugas Khas di pejabat Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Pengerusi PN Selangor.

Dalam PRU lalu, calon PH memenangi parlimen ini dengan majoriti 33,849 undi menewaskan BN dan Pas. Namun, dengan pelbagai isu kegagalan pemerintahan 22 tahun PH termasuklah menganggap manifesto mereka sebagai bukan kitab suci serta pertambahan jumlah pemilih melalui penguatkuasan undi 18 tahun, parlimen Shah Alam agak terbuka untuk semua calon yang bertanding.

PRU ini akan melibatkan 22 kawasan Parlimen di Selangor yang menggunakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022, tanpa melibatkan 56 DUN yang tidak dibubarkan. 20 Parlimen kini dikuasai oleh PH, sementara dua kerusi dimenangi oleh BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon PRU-15 pada 5 November 2022. Tarikh pengundian adalah pada 19 November 2022, sementara pengundian awal pada 15 November 2022.