May 28, 2023

PN putuskan tiada kerjasama dengan GTA kata Muhyiddin

Spread the love

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan mengadakan perbincangan dengan gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin berkata, PN mengambil keputusan untuk menghadapi PRU15 dengan parti komponen sedia ada.

“Tak ada langsung perbincangan (dengan GTA)… kita putuskan untuk meneruskan atas inisiatif gabungan sedia ada sahaja.

“Bukan tak nak bekerjasama tetapi kita putuskan untuk buat apa yang kita susun sejak awal, masing-masing akan teruskan dengan agenda PN, bukan PN Plus dan sebagainya,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Terdahulu beliau ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PN di ibu pejabat Bersatu.

Dalam masa sama, Muhyiddin menafikan dakwaan terdapat perbincangan yang belum dimuktamadkan dengan GTA kerana beberapa isu yang belum selesai.

Saya tak tahu di mana ada perundingan kerana ia tak sampai ke peringkat tertinggi. Bagi saya, ia tak penting kerana di peringkat parti tak ada perbincangan rasmi, mungkin ada hajat sahaja,” tambah beliau.

Terdahulu, Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan rundingan dengan PN sedang berjalan untuk menentukan bentuk kerjasama termasuk kemungkinan memastikan calon mereka tidak bertindih.