May 28, 2023

Zahid mengaku KJ sebenarnya tak diberi tempat bertanding PRU15

Spread the love

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini (Jumaat, 11 November 2022) mengesahkan nama Khairy Jamaluddin, memang tiada dalam senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Memetik laporan BH, Zahid berkata Menteri Kesihatan itu sepatutnya tiada tempat pada PRU-15 ini kerana Khairy adalah ahli UMNO dalam Bahagian Rembau dan kini Ketua UMNO bahagian itu ialah Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Beliau patut berterima kasih pada saya sebab beri peluang bertanding di Sungai Buloh,” kata Zahid berhubung calon BN Parlimen Sungai Buloh itu.

Menurut Zahid Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan adalah calon yang lebih layak untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau.

“Saya beri juga beliau (Khairy) bertanding di Sungai Buloh walaupun bukan tempat beliau. Maka beliau perlu bekerja keras untuk memenangi kerusi Sungai Buluh dan menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN,” katanya.

Terdahulu, Khairy berkata Parlimen Sungai Buloh bukan tempat selamat sebagaimana didakwa Mohamad, sebaliknya kawasan bahaya yang mana semua pemimpin UMNO enggan bertanding di situ.

Zahid kemudian membalas kenyataan itu dengan mengatakan Khairy sendiri yang meminta untuk diletakkan di Parlimen Sungai Buloh.

Sehari kemudian Khairy pula berkata disebabkan pemimpin tertinggi UMNO berdiam diri mengenai kawasan untuknya bertanding, beliau terpaksa meminta sendiri kerusi Sungai Buloh itu daripada Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai hasrat Khairy untuk menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, Zahid berkata ianya bergantung kepada diri Khairy sendiri.

“Pertamanya, beliau mesti menguatkan parti, bukan melemahkan parti. Beliau mesti memang di Sungai Buloh. Beliau juga mesti diterima parti dan tidak menyanggah parti

“Kita boleh berbeza pendapat. Tapi kalau tunjuk diri terbaik, terpandai, paling bijaksana. Itu ertinya perasan,” kata Zahid lagi ketika ditemui semasa program bersama komuniti Cina di Bagan Datuk, hari ini.

Terdahulu, Khairy mendakwa Zahid mungkin tidak berpuas hati terhadapnya kerana mempertikaikan keputusan Pengerusi BN berhubung pencalonannya bagi PRU-15 ini.