NAMPAK gaya DAP dah tak senang duduk. Lama cuba bersembunyi dalam gua agar kelibat mereka tidak dikesan orang Melayu. Seperti modus operandi gerila, muncul tiba-tiba dan menikus kembali di lubang tikus dalam belantara.
Mungkin DAP sudah melihat gagalnya pupet mereka menjadi perisai, maka terpaksa muncul keluar juga. Tentulah serangan mereka kepada PAS. Mereka tahu jantung kekuatan Melayu-Islam berada pada PAS.
Harapan mereka kepada Anwar Ibrahim sudah mula luntur. Anwar yang selama ini dilihat kebal menjadi penyerang musuh politiknya bersama regu fitnah Rafizi Ramli dilihat mula bertahan di kubu sendiri.
Serangan Pesuruhjaya PAS Perak kepada Anwar sebagai ejen DAP dengan palitan kes liwat serta bekas banduan benar-benar menjadikan Anwar kembali bertahan. Bicara Anwar mengenai integriti, akhlak dan perjuangan tidak menjadikan orang lupa bahawa beliau adalah pesalah kes moral dan kes rasuah yang pernah dipenjarakan.
Berstatus bekas banduan menjadikan Anwar hilang kredibiliti untuk menjadi Panglima Perang Pakatan Harapan apatah lagi sebagai Perdana Menteri. Rakyat mula diingatkan kembali siapa Anwar melalui rakaman video kempen Haji Razman Zakaria di Bagan Serai.
Anwar yang terciduk dengan perangkap itu mengelupur memberi respon dengan ancaman saman RM5 juta kepada Razman. Ternyata Razman yang dikenali tokoh berprinsip dan tegas keras tidak berundur malah melancarkan serangan kedua melalui kenyataan media hari ini.
Anwar mungkin tersungkur jika terus bermain di medan pertahanan ini. Pastinya Razman sudah bersedia dengan peluru dan bom yang lebih besar untuk mendedahkan pekung kredibiliti Anwar.
DAP yang sedar keadaan ini mula cuba mengembalikan serangan kepada PAS dan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Serangan DAP itu ditujukan kepada pengundi Cina. Isyarat ini menunjukkan DAP tidak lagi senang duduk dengan sokongan Cina kepada mereka.
Kini, PAS dan PN tidak perlu berada di posisi pertahanan kerana bola berada di kotak gol musuh. Jika mood pengundian terus seperti hari ini, tidak mustahil kejutan lebih besar akan dilihat rakyat mengatasi PRU14.
PN bersama PAS kini sedang mendahului dalam pelbagai sudut. Integriti, kualiti calon, kebajikan dan prihatin rakyat melalui Tawaran PN BEST sangat meyakinkan rakyat. Kebajikan rakyat yang ditunaikan tanpa janji ketika pandemik COVID-19 masih segar di ingatan rakyat.
Rakyat juga sedang menanti detik 19 November untuk menghukum PH atas janji palsu dan khianat mandat yang diberikan dalam PRU14 lalu. PH telah dihukum oleh Ahli Parlimen dan ADUN pada 2020. Kini masanya rakyat sendiri menghukum PH.
Barisan Nasional? Bukan hanya rakyat telah hilang kepercayaan, kini ahli Umno sendiri mulai meluat dengan tindak tanduk Presiden mereka sendiri yang sangat terdesak menyelamatkan diri.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 14/11/2022
More Stories
Lebih 160,000 mengundi di Padang Serai, Tioman hari ini
Padang Serai, Tioman akan ditahan, tsunami Melayu memilih PN
Nor Idayu bersemangat, maklum balas pengundi positif