Kerusi Parlimen Tambun dijangka memihak kepada Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, kerana pengaruhnya lebih kuat berbanding Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim yang pertama kali bertanding di situ.
Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata, laluan Anwar untuk menawan Tambun bukan mudah kerana Faizal yang pernah menjadi menteri besar Perak mempunyai kekuatan akar umbi di kawasan itu.
Beliau (Faizal) mempunyai ramai ‘keluarga politik’ di Ipoh, sama ada dari Umno atau Bersatu. Ditambah pula dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan PAS, dirasakan sukar Anwar untuk menang,” katanya kepada FMT.
Faizal yang memenangi Tambun pada PRU14 dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Husni Hanadzlah, dan calon PAS, Ibrahim Zakaria.
Sementara itu, Atory percaya pengundi muda yang bertambah dilihat lebih condong kepada Faizal bekas menteri belia dan sukan dan muda berbanding Anwar.
Selain itu, Anwar yang berpindah dari Parlimen Port Dickson juga mungkin belum mesra dengan pengundi Perak.
“Rekod buruk PH semasa 22 bulan memerintah juga tidak membantu Anwar,” ujarnya, dan menambah pengundi mungkin menganggap Anwar sudah ‘hilang taring’ selepas kekalahan PH pada PRN Melaka, Johor, dan Sarawak.
Anwar sebelum ini mengakui Tambun bukan kerusi mudah, namun tekad untuk merampas semula Perak dan Tambun yang dimenangi Faizal atas tiket PKR pada PRU14.
Di peringkat DUN, Manjoi dan Hulu Kinta bawah Parlimen itu dimenangi calon yang bertanding atas tiket PKR, masing-masing dengan majoriti 3,532 undi dan 3,713 undi, pada PRU sama.
More Stories
Lebih 160,000 mengundi di Padang Serai, Tioman hari ini
Padang Serai, Tioman akan ditahan, tsunami Melayu memilih PN
Nor Idayu bersemangat, maklum balas pengundi positif