Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad mengatakan bahawa tsunami PRU-14 adalah (peralihan undi) daripada UMNO kepada Pakatan Harapan kerana orang Melayu bencikan Datuk Seri Najib Razak.
Tsunami PRU-15 pula adalah daripada UMNO kepada Perikatan Nasional kerana orang Melayu bencikan Zahid.
Manakala Pakatan Harapan mendapat faedah sampingan kerana perpecahan undi Melayu akibat kurang cerdiknya pemimpin-pemimpin Melayu.
“Saya katakan, ini disebabkan oleh Zahid yang angkuh dan bertanggungjawab menetapkan calon-calon UMNO dalam PRU-15. Beliau angkuh kerana UMNO memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor walaupun itu berlaku in spite of him”, ujar Tun Hamid dalam tulisan di blog beliau.
Sambung Tun Hamid lagi, Zahid dilihat sebagai seorang yang berusaha untuk mengguna kuasa supaya pendakwaan terhadapnya tidak diteruskan seperti Lim Guan Eng (Pengerusi DAP) atau, jika dia didapati bersalah, beliau akan diberi pengampunan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH).
Pengerusi Barisan Nasional itu berulang kali mengugut untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawat jawatan tersebut.
“Beliau, disokong oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO menekan Ismail Sabri supaya menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen dan mengadakan pilihan raya yang dilihat sebagai tamakkan kuasa untuk digunanya bagi membebaskannya daripada pertuduhan-pertuduhan jenayah terhadapnya.
“Semua persepsi dan realiti itu menimbulkan kebencian orang ramai, termasuk pengundi Barisan Nasional, menyebabkan mereka mengundi PN,” katanya.
Tambah Abdul Hamid, Zahid setelah UMNO dan BN kalah teruk pun masih enggan berundur sebagai Presiden UMNO malah berunding pula dengan Anwar untuk menubuhkan kerajaan PH-BN.
Beliau (Zahid) seolah-olah lupa apa yang dilakukan oleh Kerajaan PH yang ditentang sekeras-kerasnya oleh orang Melayu dan UMNO sendiri seperti menjual harta Tabung Haji dan Kerajaan Persekutuan, kepada Cina Singapura.
Tindakan tersebut amat jelas bertentangan dengan resolusi Perhimpunan Agung UMNO yang mengatakan: “No Anwar. No DAP.
‘Kini terdengar pula berita bahawa BN mengambil keputusan berkecuali. Ertinya, ia tidak menyokong PN atau PH dalam pemilihan pelantikan Perdana Menteri. Jika ini menyebabkan PH berkuasa semula, ini adalah kesilapan UMNO terbesar yang membunuh dirinya sendiri. Pemimpin-pemimpin UMNO tidak boleh dimaafkan”.
Tun Hamid membuat kesimpulan bahawa semua ini menunjukkan bahawa orang Melayu sudah tidak boleh bergantung kepada UMNO lagi untuk membela kepentingan mereka. Maka, sudah tibalah masanya bagi orang Melayu meninggalkan UMNO dan memberi sokongan padu kepada PN.
More Stories
DAP Islamfobia: Apakah salah menyatakan kebenaran?
Israel gembira Anwar jadi Perdana Menteri
“Tak perlu jaga Melayu, ini semua sampah” MT UMNO kesal ucapan pemimpin dalam mesyuarat