March 28, 2023

IDEAS saran Anwar lantik Menteri Kewangan baru

Spread the love

Pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan dilihat kurang wajar malah tidak selaras dengan prinsip tadbir urus baik seperti yang dilaungkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh berkata, Anwar sebelum ini dengan tegas mengisytiharkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan ia sebagai agenda teras Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, komitmen untuk mengasingkan portfolio tersebut juga telah dibuat dengan jelas menerusi manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Tegasnya, IDEAS sangat berharap agar pengasingan peranan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menerusi individu yang sama kerana tiada pengawasan terhadap portfolio paling penting dalam kabinet kerajaan baharu ini.

“Perkara ini seharusnya menjadi pengajaran apabila skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana sebahagiannya dipermudahkan dengan membenarkan seorang individu memegang dua jawatan penting kabinet secara serentak.

“Tiga pentadbiran sebelum ini telah cuba mengubah tradisi ini dengan melaksanakan pengasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Walaupun secara politiknya sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam Kerajaan Perpaduan, namun ia perlu diasingkan terutamanya untuk proses semak dan imbang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu katanya, IDEAS mencadangkan Perdana Menteri untuk berusaha dan komited mencari seorang Menteri Kewangan yang bersesuaian iaitu seseorang yang boleh melaksanakan urusan kerajaan secara telus dan bertanggungjawab