March 28, 2023

Lebih 160,000 mengundi di Padang Serai, Tioman hari ini

Spread the love

Lebih 160,000 pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ada seramai 132,955 pengundi di Padang Serai manakala 28,108 orang lagi di DUN Tioman.

Sebanyak 46 pusat mengundi dan 230 saluran akan dibuka bagi proses pengundian di Padang Serai manakala DUN Tioman pula membabitkan 17 pusat mengundi dan 52 saluran.

Mengikut Warta Kerajaan mengenai penetapan waktu mengundi PRU ke-15 yang dimuat naik di laman sesawang SPR, pusat mengundi di kedua-dua kawasan akan dibuka pada 8 pagi dan ditutup pada 6 petang.

SPR juga menyarankan pengundi agar memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi.

Individu yang positif Covid-19 pula boleh berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi maklumat lanjut.

Untuk pengundi di DUN Tioman, penandaan dakwat pilihan raya akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri.

Seperti proses pengundian pada 19 Nov lepas, penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan.

SPR turut menetapkan pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan ia di tempat yang telah disediakan selepas menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai proses berkenaan.

Pengundi juga dinasihat agar keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan dan mengelak hadir pada saat-saat akhir.

Pemilihan di kedua-dua kawasan yang sepatutnya berlangsung pada 19 Nov lalu tetapi ditangguhkan susulan kematian calon iaitu M Karupaiya daripada PH bagi kawasan parlimen Padang Serai, dan Md Yunus Ramli di DUN Tioman, mewakili PN.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian pada 19 Nov lepas.

Kerusi parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH Dr Mohamad Sofee Razak, C Sivaraajh (BN), Azman Nasrudin (PN) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar ialah Mohd Bakhri Hashim mewakili Warisan, dan Sreanandha Rao (bebas).

Bagaimanapun, BN bersetuju memberi laluan kepada PH di kerusi Parlimen itu pada 2 Dis lepas.

DUN Tioman pula menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon PN, Nor Idayu Hashim, Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Sulaiman Bakar (Bebas) manakala Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) mengumumkan memberi laluan kepada calon BN tetapi namanya masih tertera di kertas undi.

Pada 3 Dis lepas, pengundian awal menyaksikan kira-kira 93.42 peratus atau 71 anggota polis mengundi di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah.

Bagi DUN Tioman di Pahang pula, 95.88 peratus atau 233 anggota polis mengundi awal di Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin dan Bilik Maklumat Balai Polis Tekek, Pulau Tioman.

  • Bernama